Sunday 1 May 2011

Warkah Buat Kakak

Angin malam menyapa perlahan-lahan wajahku. Sejuknya hingga mencucuk tulang sendi. Aku mula mengimbau kenangan lalu…….

Hari ini genap 3 tahun pemergian kakakku. Pergi bukannya meninggalkan dunia yang fana ini, tetapi meninggalkan keluarga entah ke mana. Memang dari dulu lagi semenjak bersekolah menengah berdekatan kampungku dia banyak bergaul dengan budak-budak sosial. Itulah serba sedikit faktor penyumbang kenapa kakakku mula berubah sikap. Walaupun kami dididik dengan penuh ilmu keagamaan, tapi hati manusia cepat berubah. Ibu bapaku selalu berpesan supaya utamakan ilmu agama dahulu dalam membuat semua perkara. Tapi itulah manusia, kadangkala lupa dan alpa bila berjauhan dengan orang tersayang dan keluarga. Kisahnya bermula apabila tamat saja tingkatan 5, dan sesudah menduduki SPM, kawan-kawannya mengajak kakakku untuk bekerja di sebuah negeri di barat Malaysia. Mula- mula keluarga menghalang tetapi atas pujukan dan rayuan,, kami terpaksa melepaskannya pergi bekerja walaupun hati kami tidak merestuinya terutama ibu dan ayahku yang mungkin lebih merasai dengan apa yang aku rasai sekarang ini. Apatah lagi kawan yang mengajaknya adalah jiran sekampung dan memang kenal rapat dengan keluargaku. Inilah realiti yang terpaksa kami tempuhi, merelakan pemergiannya ibarat melepaskan merpati dari dalam sarangnya. Walaupun rela dalam terpaksa melepaskannya, kasih sayang terhadapnya akan kekal sampai bila-bila.

Tiba-tiba aku tersedar apabila daun pintu dibuka dari arah luar. Aku lihat ibuku dengan wajah sayu dan longlai melangkah menghampiriku seraya bertanya “Lis, apa yang Lis sedang buat itu, tak tidur lagi ke? kan sudah tengah malam ni, nanti lewat pergi kelas esok” Tanya ibu dalam nada muram.

“Lis nak habiskan sedikit lagi assignment ini ibu, esok dah kena hantar” dalihku walhal pada waktu itu aku sedang menulis rahsia hatiku dan rintihanku terhadap kakak, kak Ana.

“Oklah Lis, ibu tidur dulu, ayah kau pun tak sihat, jangan tidur lewat-lewat, nanti terlambat ke kelas esok, ibu tidur dulu ye sayang”…ucap ibu sambil menghadiahkan sebuah kucupan di dahiku dan tersenyum ke arahku. Aku tahu senyuman itu tidak lagi semanis senyuman seperti yang dahulu. Kak….di mana kau tika ini, tidakkah kau sedar kami semua amat merinduimu….pulanglah kak….rintihan pilu dari hatiku yang suci.

Aku menyambung lagi…kak sudah lupakah kenangan kita bersama? Seribu kenangan pahit dan manis tika kita bersama dahulu. Seribu kemanisan hidup sehingga memberi peluang kepada kita untuk terus hidup hingga ke hari ini. Kak….. sudah lupakah masa kita berdua dahulu…bermain masak-masak, memanjat pokok buah-buahan, bermandi-manda di sungai…tidakkah kau ingat semua ini. Sungguh indah waktu itu, kenangan ini takkan ku lupa sampai bila-bila. Kakak….masihkah kau ingat sewaktu kita menolong ibu dan ayah dalam kebun getah, mengutip susu getah beku, naik bukit, turun bukit, paya diredah semata-mata untuk meringankan beban ibu dan ayah. Tidak ingatkah kau masa kita pergi ke kebun kelapa sawit, kita pernah berjanji akan menolong keluarga kita yang susah sambil menyanyi lagu riang.Aku masih lagi ingat setiap bait-bait lagu kegemaran kita berdua.Emm...em," sungguh riang waktu membesar badanku jadi, sihat dan segar,ibu menerangkan kami ada kawan, dengan scoultImulsion.Wah mestikah aku melupakan segalanya.Kenangan yang begitu berharga sedari kecil kita berdua.Beza umur hanya satu tahun tidak memberi apa-apa erti menjadikan kita seperti belangkas. Kemana sahaja pergi mesti berdua.Setiap tawa dan tangis kita berdua dapat merasainya. Kak......sudahkah kau lupa itu semua? Kak…. Masihkah kau ingat pemergian kita ke dusun buah-buahan, sungguh riang waktu itu, ibu, ayah, kakak, abang tolong-menolong mengutip buah-buahan. Kita sempat merakamkan detik-detik indah itu dalam gambar-gambar yang cantik dan menyimpan seribu memori kehidupan. Bila terpandang saja gambar dulu-dulu air mataku menitis tanpa dipinta.

Kakak…pulanglah…ayah sekarang tidak berapa sihat. Ayah selalu menyebut untuk berjumpa denganmu. Ibu sudah kering air mata apabila dalam tidur ayah bermimpi berjumpa denganmu. Ayah memanggil namamu, hati ibu merintih pilu. Kak….. sudah lupakah pengorbanan ibu dan ayah suatu ketika dulu. Bekerja siang dan malam hanya untuk kebahagiaan kita. Sudah lupakah kita yang sekecil tapak tangan boleh menjadi seorang manusia di hari ini, tapi akan dating tiada siapa yang tahu. Tidak rindukah dengan ibu kita, walaupun sudah tidak secantik dulu lagi, berkedut sini berkedut sana tapi dia tetap ibu kita dunia akhirat. Dia yang mengandungkan kita, mendodoikan kita dan membesarkan kita. Sudah lupakah jasa dan pengorbanan mereka? Masihkah kau ingat, dirimu di waktu kecil mengalami komplikasi jantung, tetapi ibu dan ayah tidak segan silu naik turun hospital semata-mata untuk mendapatkan rawatan yang terbaik untuk dirimu.

Ubatan tradisional dicari serata negeri, sehinggalah kau benar-benar pulih sehingga sekarang. Aku tahu jasa mereka berdua tak terbilang bagi kita, mereka bukan mahukan pembalasan dari segi material, wang ringgit tetapi apa yang mereka dambakan hanyalah kasih sayang. Pulanglah kakakku sementara masih ada waktu untuk kita melihat mereka dan memberi kasih sayang. Curahkanlah kasih sayangmu sementara ibu dan ayah masih ada. Jangan pula menyesal di kemudian hari. Sekalipun keluar air mata darah, itu takkan boleh diputar kembali. Pulanglah….mereka sudah letih menunngu dan menunggu, merintih dan merintih. Aku terpaksa berhenti disini dahulu kerana mataku sudah mengantuk. Mungkin aku akan menyambungnya di hari akan datang.

Aku terlewat bangun pagi kerana semalam aku terlewat tidur. Ibu tidak datang mengejutku kerana dia pun terlewat tidur kerana menjaga ayahku yang sedang sakit. Ayah semakin hari semakin tak berdaya. Berjalan pun hanya dipimpin orang lain disisinya. Air mata suci ibuku gugur entah ke berapa kali sudah, tak sanggup lagi aku melihatnya. Aku tahu perasaan itu ketika ini, apatah lagi diriku turut merasakan semua itu. Aku dah tak berdaya untuk menghentikan air mata itu menitis keluar bersama kerinduan yang tidak berkesudahan akhirnya.

“Ayah macamana ibu?” tanyaku seraya memandang ke arah ibu yang muram dan sedih. Aku tahu ibu memendamkan kesedihan itu dari penglihatan kami semua. Kesedihan bercampur kerinduan membuatkan wajah ibu cengkung dan tidak bermaya. Sungguh luar biasa ketabahanmu ibu…rintihku dalam hati.

“Tak tahulah Lis, ayah kau tu selalu saja meracau-racau dalam tidurnya” luah ibu mematikan lamunanku tadi. “Asyik nama kak Ana aje disebut, mak pun tak tau nak buat macamana”….rintihan dari ibu menyembunyikan keresahan dalam hati. “Nantilah saya usahakan ibu, cari kakak. Lis harap kita semua bersabarlah. Mungkin satu hari nanti kakak akan sedar dengan semua itu” “Oklah ibu, Lis pergi kelas dulu ya” kataku sambil menyalami tangan ibu lalu berlalu dari situ.

Sesudah kuliah petang itu, aku tidak terus balik tapi aku pergi mendapatkan kenalan rapat kakakku yang sama-sama bekerja dahulu, Watie namanya. Aku bersyukurur kerana dapat jumpa orangnya. “Kak Watie, tau tak ke mana Kak Ana pergi?” tanyaku penuh simpati. “sorry dik, akak tak tau apa-apa lagi pasal kakak adik” sambil cuba berlalu dari situ.

“Tunggu!!...saya tau kakak cuba menyembunyikan sesuatu dari saya, cakaplah kak, kasihan saya, ayah dan ibu sakit, mereka ingin sangat berjumpa dengan kakak saya” rayuku dengan berlinangan air mata. Timbul pula rasa sedih dalam hati Watie, aku mesti beritahu cerita sebenarnya…begini…cerita Kak Watie dari A sampai Z tentang kisah kakakku. Rupa-rupanya kakakku membuat hubungan dengan seorang yang berlainan agama. Menurutnya lagi perhubungan mereka tidak direstui oleh ibu dan ayahku. Sebab itulah Kak Ana mengambil keputusan untuk lari dari rumah. Betullah kata orang, teluk bidara buah selasih, hilang saudara kerana seorang kekasih…rintih hatiku pilu. Sejak dari itu aku cuba berusaha untuk menjejaki kakakku, tapi semuanya sia-sia belaka.

Kesihatan ayah pula semakin hari semakin tenat. Ayah asyik meracau-racau dalam tidurnya. Aku tidak berdaya lagi menanggungnya. Malam itu, batuk ayah semakin menjadi-jadi. Ibu, kakak dan abang tidak tidur sampai ke pagi. Kami bergilir-gilir menjaga ayah, memicit, mengurut dan membaca ayat suci Al-Quran semoga ayah cepat sembuh dan mengurangkan kesakitannya. Ayah mula berpesan kepadaku agar belajar rajin-rajin hingga menjadi orang yang berjaya dan jangan terlalu memikirkan kerja, belajar dulu baru berfikir pasal kerja. Dia juga berpesan kepada kami semua supaya melakukan amal ibadah, meninggalkan larangan-Nya…pesan ayahku dengan suara tersekat-sekat. Aku sedaya upaya mengawal supaya air mataku tidak gugur di depan ayahku….sehinggalah ke pagi kami menjaganya, barulah ayah tertidur semula. Kami pun beredar dan menyambung tidur kami semula.

Di pagi dinihari, aku dikejutkan sekali lagi dengan suara ibu, “Lis bangun, ayah kamu panggil kita semua” kejut ibu disisi katilku. “Apa ibu” jawapku dengan nada terkejut. “Ayah sakit lagi ke?” tanyaku. Aku pun bingkas bangun dan pergi mendapatkan abang dan kakakku yang lain. Aku bergegas ke bilik utama, aku terdengar suara ayah yang tersekat-sekat bunyinya.

“Nab,anak kita mana, semua dah balik ke?...abang nak jumpa mereka semua, mana mereka semua Nab, abang dah nak pergi ni, pergi panggil mereka” rintih ayah dengan nafas tersekat-sekat.

“Anak-anak ada di sini bang, semuanya ada di sini” esak ibu. Aku tahu ibu menyembunyikan kesedihannya di sebalik sendu halus di hujung suaranya. Aku tahu tentu ayah masih lagi menanti wajah kakakku. Hanya Kak Ana seorang saja yang tidak bersama kami ketika itu. Kami bergilir-gilir membaca ayat suci Al-Quran disisi ayah dengan nada teresak-esak, perlahan-lahan ayah menutup mata.

Keesokan pagi kami bercadang membawa ayah ke klinik berhampiran. Kesihatan ayah semakin tenat. Ayah tidak boleh menelan lagi. Hanya titisan air dari kapas dimasukkan ke dalam mulutnya, itupun kadangkala keluar balik. Kami bergegas menghantarnya ke klinik, tapi kata doktor ini sedah menjadi kes parah lalu ayahku dihantar ke hospital besar. Di sana ayahku dimasukkan ke bilik ICU, hatiku menjadi sedih, kenapa begini jadinya. Aku lihat tubuh ayahku berselirat dengan wayar-wayar halus yang bersambung di sana sini.Air mataku tumpah lagi.Tumpah untuk yang kesekian kalinya. Aku sudah tidak sanggup lagi melihatnya. Aku memohon ke hadrat Ilahi supaya ayahku dapat disembuhkan dengan segera. Tapi jika setakat ini sahaja nyawa ayahku aku redha, biarlah dia pergi membawa derita ini. Aku dah tak sanggup lagi melihat penderitaan ayahku…esakku dalam tangisan. Doktor menyuruh kami sekeluarga berada di sisi ayah dan membaca ayat suci Al-Quran kerana katanya ayahku sudah tiada harapan lagi. Duniaku seakan berpusing ketika itu. tepat jam 12 tengah malam, ayahku menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi kami. Pergilah sudah orang yang ku sayang, pergi membawa diri bertemu Pencipta. Semoga ayahku berada dalam golongan orang Mukmin di sana…..Amin…rintih hatiku pilu.

Sementara itu Hanna sedang leka melakukan kerja-kerja di bahagian moulding. Entah kenapa hari ini dia merasa tidak sedap hati….oh tak ada apalah…bisik hatinya. Sebenarnya sudah lama dia pulang ke rumah menjenguk keluarganya di kampung tapi dia takut terhadap ibu dan ayahnya atas apa yang dia lakukan selama ini. Tapi hari ini, semangat untuk balik kampung itu datang berkobar-kobar dalam dirinya. Dia bergegas ke stesen bas dan mengambil tiket untuk pulang hari ini juga.Hatinya berasa kelainan apabila mindanya terdetik perihal desa yang jau ditinggalkan. Jauh beribu-ribu batu.

Dalam perjalanannya, dia akui memang sudah banyak perubahan di kampungnya. Dia sedih terhadap apa yang berlaku selama ini terutama sekali kepada ibu dan ayah. Dia ingin sangat memeluk ibu dan ayahnya seperti dahulu. Sampai sahaja di halaman rumahnya, ramai penduduk kampung di situ. Hatinya menjadi resah dan berdebar-debar….apa yang berlaku? bisik suara hatinya. Dia berlari-lari anak mendapatkan kami semua. “Ayah!!!....” tangis kakak bila melihat sekujur tubuh yang kaku di pembaringan. “Ayah…maafkan Ana ayah!! Ana dah banyak buat salah, bangunlah ayah, anakmu sudah pulang ini ayah” raung Kak Ana tanpa mempedulikan orang disekelilingnya. “sudahlah itu Ana, biarkan ayah pergi dengan tenang” pujuk ibuku.

“Tapi ibu, Ana tak mintak maaf lagi dengan ayah” esak kakakku.

“Sudahlah, ayah maafkan kita semua” pujuk ibu lagi dengan titisan air mata yang cuba disekat dari mengalir keluar. Barulah kakak dapat disedarkan lalu berlalu dari situ.

Sedarlah wahai kita semua, berbuat baiklah kepada ibu bapa kita semua. Berilah kasih sayang dan curahkan segala kebaikan ke atas mereka. Berbuat baiklah kepada mereka berdua di waktu yang masih ada ini, jangan biarkan penyesalan itu datang setelah mereka tiada. Mereka bukannya inginkan duit dan harta, apa yang mereka harapkan hanyalah secebis kasih sayang dari kita semua. Sedarlah…..

Source: Irza Rizma - BACC Part 5A 2004

No comments:

Post a Comment